Rabu, 11 Mac 2009

Maklumat Am

Sempadan Negeri Kedah

Kampung Lahar Minyak merupakan sebuah perkampungan Melayu yang terletak di daerah Seberang Perai Utara. Ia terletak berhampiran dengan bandar kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang kelima Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang. Nama Kampung Lahar Minyak bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduk di daerah ini kerana ia banyak melahirkan tokoh-tokoh agama setempat yang berpengaruh suatu ketika dahulu.
Suatu ketika dahulu juga, ramai dikalangan orang-orang bukan Islam yang memeluk Agama Islam di sini. Justeru, tidak hairanlah kiranya penduduk di sini masih lagi bepegang taat kepada agama dalam menjalani kehidupan harian mereka. Sungguhpun Kampung Lahar Minyak terletak di dalam Negeri Pulau Pinang, ia sebenarnya bersempadan dengan negeri Kedah Darul Khusus. Terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Kuala Muda yang menjadi pemisah antara Negeri Pulau Pinang dan juga Negeri Kedah Darul Aman. Sebuah jambatan iaitu Jambatan Merdeka telah dibina untuk kemudahan penduduk kampung.
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan melaksanakan pembaharuan demi keselesaan penduduk di sini. Kampung Lahar Minyak merupakan antara kawasan di Pulau Pinang yang masih lagi mempunyai sawah padi. Tidak seperti kawasan lain di Pulau Pinang, sawah padi di kawasan Lahar Minyak masih terus diusahakan sehingga ke hari ini.

Asal usul Kampung Lahar Minyak

Paya Berminyak
Kampung Lahar Minyak dipercayai telah wujud sejak sebelum tanah air telah mencapai kemerdekaan. Ketika itu, kawasan Kampung Lahar Minyak adalah salah satu lokasi yang menjadi sarang tentera Jepung menyembunyikan diri. Sewaktu era komunis juga kawasan Kampung Lahar Minyak turut menjadi antara lokasi strategik untuk mereka berselindung dari pejuang tanah air. Salah satu lokasi yang pernah menjadi saksi kepada pertempuran antara pihak British dan Jepun ialah Jambatan Merdeka yang masih digunakan sehingga ke hari ini. Jambatan ini pernah dibom oleh tentera Jepun bagi menghalang tentera British untuk masuk ke daerah Seberang Perai Utara.
Nama Lahar Minyak dipercayai diambil dari suatu peristiwa yang berkait dengan beberapa buah kampung berhampiran. Menurut salah seorang penduduk kampung, Ismail Haji Talib, suatu ketika dahulu di kawasan berhampiran, terdapat begitu banyak ikan yang mati di sebuah paya atau lahar dalam loghat utara. Air paya tersebut mengalir sehingga ke kawasan Kampung Lahar Minyak. Oleh sebab ikan yang mati tersebut terlalu banyak, ia menyebabkan air paya menjadi seakan-akan berminyak. Sejak dari peristiwa tersebut, penduduk kampung bersepakat menamakan kampung ini sebagai Kampung Lahar Minyak.